Friday 7 November 2014

Padang tiruan bukan halangan




 DUA perlawanan di atas padang tiruan di Stadium Jalan Besar, Singapura, bukan satu alasan buat pasukan Harimau Malaya untuk gagal beraksi cemerlang dan melepasi peringkat kumpulan.

Pemain tengah negara, Safiq Rahim berkata, keadaan padang tidak akan menjejaskan mental dan fizikal skuad kebangsaan yang kebanyakannya memiliki pengalaman bermain di atas rumput tiruan berkenaan.

“Bagi saya tiada masalah untuk kami bermain di atas rumput tiruan di Stadium Jalan Besar. Rata-rata pemain negara pernah bermain di sana dan mempunyai banyak pengalaman beraksi dalam kejohanan ini.

“Apa yang penting sekarang ialah kami perlu mengekalkan rentak yang baik dan konsisten dalam permainan, permukaan padang atau rumput hanya memainkan sedikit sahaja peranan dalam mana-mana perlawanan,” katanya ketika ditemui selepas menjalani latihan di Padang Seri Gelam, Johor Bahru.

Terdahulu, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan jurulatih negara, Dollah Salleh telah membuat rayuan agar dua perlawanan peringkat Kumpulan B menentang Myanmar (23 November) dan Thailand (26 November) ditukar ke gelanggang awal iaitu Stadium Nasional di republik itu, namun ditolak Konfederasi Bola Sepak ASEAN (AFF).

Safiq yang baharu sahaja menggalas peranan selaku kapten Johor Darul Ta’zim dalam aksi final Piala Malaysia, menyertai 26 pemain lain dalam kem Harimau Malaya yang menjalani latihan pusat di Johor selama seminggu.

Pemain yang telah beraksi dalam kempen Piala AFF 2010 ketika Malaysia muncul juara dan sekadar melangkah separuh akhir Piala AFF 2012 itu masih belum menyertai latihan penuh di bawah kendalian Dollah Salleh kerana mengalami kecederaan di lututnya selepas aksi final Piala Malaysia.

Beliau bagaimanapun menjelaskan kecederaannya tidak serius dan fokusnya ketika ini adalah untuk memastikan dirinya bersedia sepenuhnya bagi menghadapi kempen yang akan berlangsung di Singapura itu pada hujung bulan ini.

“Kecederaan lutut ini saya rasai selepas aksi final tempoh hari, tetapi ia tidak serius dan mungkin akan pulih dalam masa dua atau tiga jari.

“Selepas tewas pada final Piala Malaysia, fokus saya kini lebih kepada membantu pasukan negara beraksi dengan baik dalam kempen Piala AFF. Meskipun diletakkan dalam kumpulan maut, saya rasa kita mampu melepasi peringkat kumpulan itu nanti,” katanya.

0 comments:

Post a Comment

Copyright © 2014 MR TOKMU