Penangan Bila Hati Berbicara
PELAKON baru yang kini sedang giat menempa nama di Malaysia, Atikah Suhaime mengakui berdebar menantikan respons penonton terhadap drama terbaru lakonannya, Bila Hati Berbicara.
Selain Atikah drama ini turut dibintangi oleh Syafiq Kyle, Hafreez Adam, Azwan Kombos dan Raja Ilya.
Drama adaptasi dari novel Bila Hati Berbicara, terbitan Buku Prima, Grup Buku Karangkraf ini mula menggamit penonton di slot Akasia, TV3 bermula semalam, setiap Isnin hingga Khamis jam 7 malam.
Merupakan hasil karya Antasya Balkhis, drama bersiri 32 episod ini diterbitkan oleh Suhan Movies & Trading Sdn Bhd, dan diarahkan oleh Amy Maziah.
Menurut Atikah, Bila Hati Berbicara merupakan drama pertama yang menyaksikan dia membawakan watak utama.
"Saya membawa watak sebagai Tania Katsura, seorang gadis setinggan yang lemah lembut, namun tegas dalam mempertahankan haknya selepas Emir Qasya (Syafiq) seorang pemaju hartanah yang berjaya dan amat mementingkan darjat serta keturunan, mahu membangunkan tempat yang didiami Tania.
"Saya akui amat berdebar menantikan respons daripada penonton apatah lagi, drama ini diadaptasi daripada novel terkenal, jadi tentulah ia akan mempunyai golongan peminat yang tersendiri.
"Secara tidak langsung, saya hanya akan menerima dua sahaja maklum balas, sama ada orang suka atau tidak. Apa pun saya sudah bersedia untuk menerima sebarang kritikan andai watak Tania itu tidak seperti apa yang mereka bayangkan," katanya.
Bagaimanapun ujar Atikah, dia tidak membawakan watak ini sambil lewa, apatah lagi, pengarah banyak membantunya membina karakter dan memastikan dia dapat membawa watak Tania dengan baik.
"Mula-mula berlakon, saya sering dimarahi kak Amy, kadang-kala saya rasa geram dan tertanya-tanya, apa yang dia mahu? Tapi selepas mereka tunjukkan sedikit sedutan episod satu kepada saya, barulah saya faham apa yang kak Amy mahu.
"Walaupun dimarahi, saya puas hati kerana sekurang-kurangnya kak Amy berjaya membentuk watak Tania dengan baik. Paling penting, saya berharap drama ini diterima dengan baik kerana ia diolah sedikit agar setiap punchline dalam drama ini sampai
kepada penonton," katanya yang bakal muncul dengan filem terbaru, Kelibat pada 6 November depan.
0 comments:
Post a Comment